Seorang Pelajar Tingkatan Dua Bertindak Menikam Ibu Dengan Pisau

 



Pasir Puteh: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah di daerah Pasir Puteh bertindak menikam ibunya dengan pisau dalam satu kejadian di Bukit Yong, di sini malam tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Datuk Mohd Nor Yazhid Idris, ibu mangsa ditikam di bahagian dada ketika sedang tidur dalam sebuah bilik bersama suspek kira-kira jam 11.45 malam Selasa.
"Mangsa (ibu) berusia 41 tahun bersama suspek (anak ketiga) sedang tidur dalam bilik yang sama apabila tiba-tiba mangsa terasa sakit pada bahagian dada.

 "Apabila tersedar, mangsa melihat pisau tertusuk di bahagian dadanya. Mangsa telah cuba memanggil suaminya yang tidur di bahagian hadapan ruang tamu rumah semasa kejadian," jelasnya.

Menurut Mohd Nor Yazhid, hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa telah ditikam oleh suspek menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur.

Sebelum itu, menurut keterangan ahli keluarga mangsa, suspek telah mengalami demam sejak dua hari yang lalu dan memerlukan pemantauan daripada mangsa.

"Suspek telah berjaya ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh oleh suaminya. Doktor mengesahkan kesan tikaman tersebut telah membocorkan organ paru-paru bahagian kiri dan perlu dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu untuk rawatan lanjut kerana kehilangan darah yang banyak," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments