Misteri Tulang Manusia Berselerak Dalam Ladang Sawit



Kepala Batas - Sejumlah tulang dan dua tengkorak manusia ditemui dalam sebuah ladang kelapa sawit, kira-kira 70 meter dari jalan besar Jalan Ara Kuda-Padang Menora dekat sini hari ini.



Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rahman Ibrahim berkata, rangka itu ditemui oleh pekerja ladang yang sedang bekerja di ladang itu pada jam 2 petang.

 
"Pemeriksaan polis dan pasukan forensik mendapati tulang-tulang yang dalam keadaan berselerak dan tidak sempurna itu adalah rangka manusia berdasarkan dua tengkorak yang ditemui.

 
"Polis turut menemui kain pelikat corak petak-petak berwarna biru yang dipercayai digunakan untuk membungkus mayat berkenaan dan ia ditutup dengan daun kelapa sawit yang telah kering," katanya ketika dihubungi.

 
Beliau berkata, berdasarkan keadaan rangka itu, polis tidak menolak kemungkinan dua mayat berkenaan ditinggalkan di situ dalam tempoh antara dua atau tiga bulan.

 
Kesemua rangka itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut dan polis meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berhampiran. - Bernama




Tengkorak, tulang manusia berselerak


Tasek Gelugor: Dua tengkorak dan tulang manusia ditemui berselerak di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Bukit Tok Alang, di sini, 2 petang tadi.


Rangka berkenaan ditemui beberapa pekerja kira-kira 70 meter dari jalan utama sebelum memaklumkan kepada polis.


Sumber berkata, tulang berkenaan berselerak dipercayai diganggu binatang liar dan turut ditemui cebisan kain pelikat digunakan untuk membungkus mayat selain daun kelapa sawit kering untuk menutupnya.


"Siasatan awal mendapati dua mayat dibuang di ladang kelapa sawit itu antara dua hingga tiga bulan lalu kerana hanya tinggal rangka dan tulang sahaja.


"Tengkorak dan tulang berkenaan dipercayai milik warga asing kerana kecenderungan mereka membuang mayat rakan ke dalam hutan berikutan tidak mahu berurusan dengan pihak berkuasa sekiranya ada kematian memandangkan sebahagian besar tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.

Post a Comment

0 Comments