(Terkini) : Penyelia Kedai Buku Dijumpai Di Sebuah Bilik Dalam Sekolah

 


Pengawal disyaki cuba perkosa mangsa


Cubaan memperkosa mangsa dipercayai menjadi motif dan punca seorang wanita dibunuh sebelum mayatnya dibakar di dalam kawasan sebuah sekolah menengah.


Itu nasib malang menimpa gadis berusia 25 tahun yang ditemui rentung dalam bengkel pertanian kemahiran hidup di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras di sini, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, mangsa bekerja sebagai penyelia kedai buku di sekolah berkenaan dipercayai ingin dirogol suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.


Menurutnya, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, menerima maklumat melalui panggilan MERS 999 pada jam 6.18 petang (kelmarin) mengenai kejadian kebakaran di sebuah bilik dalam kawasan sekolah di Bandar Tun Razak itu.


"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Salak Selatan pergi ke lokasi kejadian dan mendapati kebakaran berjaya dipadamkan. Satu mayat dalam keadaan rentung seluruh badan dijumpai bomba.


"Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat," katanya, semalam.


Muhammad Idzam berkata, berikutan kejadian itu, satu tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki berusia 30-an di dalam kawasan sekolah itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


"Siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.


Dipercayai Dibakar Hilangkan Kesan Bukti


Kuala Lumpur: "Dia sepatutnya bertemu dengan seorang pelanggan sebelum kejadian itu (bunuh). Namun mangsa tidak muncul menyebabkan pelanggan terbabit menghubungi saya memaklumkan perkara itu," kata seorang lelaki yang juga majikan kepada gadis ditemui rentung dalam bilik di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, kelmarin.


Lelaki itu yang enggan namanya didedahkan berkata, dia kemudian cuba menghubungi mangsa beberapa kali namun tidak berjawab.


Menurutnya, dia mulanya menyangka mangsa sedang memandu kereta serta menggunakan aplikasi Waze menyebabkan mangsa tidak dapat menjawab panggilannya.


"Namun selepas agak lama tidak dapat menghubunginya, saya meminta anak pergi ke sekolah berkenaan untuk memeriksa sama ada mangsa ada di sekolah.



"Ketika anak saya tiba di sekolah itu, pintu utama sekolah sudah ditutup. Tiada pengawal keselamatan di sana namun saya meminta anak untuk memanjat pagar sekolah selepas memaklumkannya kepada pengetua sekolah," katanya, semalam.


Dia memaklumkan, anaknya kemudian ternampak kereta mangsa diletakkan di pekarangan sekolah.


"Anak saya kemudian terlihat kepulan asap keluar dari salah satu bilik di bangunan sekolah itu.


"Anak saya terus menghubungi saya. Sebaik mengetahuinya, saya segera menghubungi bomba sebelum bergegas ke lokasi.


"Namun sebaik tiba, pihak bomba dan polis sudah berada di sana dan memaklumkan terjumpa mayat dalam bilik itu," katanya.

Post a Comment

0 Comments