Isteri Tidak Sedap Hati Suami Tak Pulang

 

Lokasi kejadian mangsa dikhuatiri lemas ketika menjala udang di Dataran JPS Sungai Perak, Teluk Intan - Foto PDRM

Teluk Intan: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjala udang galah di Dataran JPS Sungai Perak, di sini, petang tadi.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata mangsa berusia 37 tahun itu menjala udang bersama rakannya yang menunggu di atas beting pasir di sungai berkenaan ketika air pasang.


Katanya, rakan mangsa berada di atas beting pasir ketika itu kerana hanya mangsa yang pandai menebar jala dengan jarak antara mereka kira-kira 50 meter.


"Tiba-tiba rakannya melihat air sudah berada di paras dada mangsa dan beranggapan mangsa cuba berendam dalam air untuk membasahkan badannya kerana cuaca panas ketika itu," katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, rakan mangsa kemudian cuba memanggil dan bertanyakan keadaan lelaki itu, namun dia tidak menjawab sebelum terdengar mangsa menjerit minta bantuan dan melihat tangan mangsa terkapai-kapai.


"Lelaki itu kemudian cuba ke tempat mangsa kira-kira 20 meter, namun terasa kakinya sudah tidak jejak ke dasar dan cuba berenang ke arah mangsa.


"Rakannya dapat memegang mangsa dan cuba mengangkatnya ke atas tetapi gagal kerana tali jala masih terikat di tangan mangsa," katanya.


Ahmad Adnan berkata, bagaimanapun keadaan arus air sungai yang sangat kuat menyebabkan mangsa terlepas dari pegangan rakannya itu.


Susulan itu, katanya, rakannya meminta bantuan dari pekerjanya untuk menghubungi bomba dan polis untuk tindakan lanjut.


"Sebaik menerima panggilan jam 2.43 petang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan namun mangsa belum ditemui," katanya.


Operasi SAR ditangguhkan sementara kerana hujan lebat dan jika masih hujan, operasi akan ditangguhkan hingga pagi esok.

Post a Comment

0 Comments